Friday 30 November 2012

TEORI PEMEROLEHAN DAN PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA



TEORI PEMBELAJARAN BAHASA

Dalam kajian linguistik terdapat banyak teori pemerolehan bahasa, tetapi secara keseluruhannya, teori-teori tersebut boleh digolongkan kepada dua golongan besar iaitu Teori Mekanis dan Teori Mentalis. Noam Chomsky meletakkan teori Mekanis sebagai Teori Empirisis dan Teori Mentalis yang digerakkannya sendiri sebagai Teori rasionalis. Sementara W.M. Rivers pula menyebut Teori Mekanis sebagai Teori Aktivis dan Teori mentalis pula sebagai teori Formalis. Dan aliran yang terbentuk daripada kedua-dua teori ini disebut pula sebagai Aliran Behaviourisme dan Aliran Mentalisme. 
3.1 Teori Mekanis
Teori Mekanis (empirisis / aktivis) menekankan bahawa pemerolehan bahasa terjadi melalui sesuatu lakuan dan penguasaannya adalah hasil operasi stimulus (rangsangan) dan respons (gerak balas) yang merupakan proses naluri semata-mata, bukan proses mental atau kognitif. Teori mekanis ini didasarkan kepada dapatan-dapatan hasil daripada percubaan-percubaan ke atas haiwan, sekadarcontoh Skinner menggunakan tikus dan Pavlov pula menggunakan anjing. Hasil daripada percubaan-percubaan ini, haiwan-haiwan tersebut membuat gerak balas apabila adanya rangsangan yang diulang-ulangi sehingga lakuan tersebut menjadi satu tabiat.
Begitu juga dengan pengukuhan bahasa seseorang. Pengukuhan hanya boleh berlaku apabila seseorang mengulang-ulangi lakuan berdasarkan kepada rangsangan-rangsangan sehingga membentuk satu kebiasaan pula. Teori ini juga mengetepikan fungsi otak atau mental seseorang bagi mengukuhkan butiran-butiran bahasa yang diterimanya atau mengulang-ulang melakukan aktiviti yang boleh membentuk satu tabiat atau kebiasaan.
Bloomfield (1942) yang berpegang teguh kepada teori ini berpendapat bahawa penguasaan bahasa bukanlah semata-mata merupakan ilmu pengetahuan. Bahasa dikuasai melalui latihan dan ia mesti dipelajari lebih daripada biasa. Mengikut Azman Wan Chik (1982), proses pembelajaran bahasa adalah merupakan satu proses mekanikal (dibandingkan dengan proses mental). Jadi penguasaan bahasa bolehlah disamakan dengan proses-proses pembentukan tabiat yang lain seperti belajar memandu kereta dan berenang yang jika diulang kali berjaya dilakukan dengan memuaskan, akan dapat diulangkan seterusnya dengan cara yang automatis.
Hasil daripada teori ini, terbit beberapa kaedah pengajaran bahasa yang disebut Kaedah Terus, Kaedah Audio-lingual (Kaedah Dengar Sebut) dan sebagainya.
 3.2 Teori Mentalis 
Teori Mentalis ini pula amat bertentangan dengan teori mekanis. Teori Mekanis yang banyak menggunakan percubaan ke atas haiwan dan menerapkan bahawa pembelajaran dan pengukuhan bahasa boleh berjaya jika adanya rangsangan dan gerak balas telah disangkal oleh golongan mentalis ini dengan mengatakan bahawa manusia sebagai “makhluk yang berfikir” dan berbeza dengan makhluk haiwan. Pembelajaran dan pengukuhan bahasa didapati secara sedar ataudengan kata lain berhubung kait dengan daya fikir seseorang. Menurut Noam Chomsky (1959) proses pembelajaran bahasa peringkat permulaan diperolehi tidak semata-mata bergantung kepada operasi rangsang dan gerak balas sahaja. Proses Kognitif sudah pasti turut serta. Tanpa peranankognitif, perkembangan bahasa terbatas pada yang dapat dialami sahaja, pada hal semua komponen bahasa berkembang secara kreatif atau melangkau batasan pengalaman naluriah iaitu rangsangan dan gerak balas. Perkembangan bahasa secara kreatif adalah hasil turut sertanya peranan operasi mental atau kognitif.
Seperti yang kita maklum bahawa bahasa adalah tindakan kreatif yang hanya ada pada manusia. Kreativiti manusia menggunakan bahasa hanya dapat difahami dengan menerima hakikat bahawa bahasa adalah satu sistem yang teratur sebagai sebahagian daripada proses kognitif manusia. Dalam hal inilah, sebarang teori yang digerakkan dengan rangsangan dan gerak balas mampu menghurai kreativiti dan kelenturan orang menggunakan bahasa. Diller (1971) yang membincangkan teori mentalis ini membuat empat andaian berikut:
•Bahasa yang hidup itu bersifat satu tingkah laku yang ditetapkan dengan
peraturan-peraturan,
•Bahasa digunakan untuk berfikir;
•Peraturan-peraturan tatabahasa itu nyata darisegi psikologi; dan
•manusia adalah unik dengan keupayaannya berbahasa.
Seperkara lagi tentang teori mentalis ini ialah seseorang kanak-kanak telah dilahirkan dengan innate capacity (kebolehan semula jadi) yang membentuk keupayaan berbahasa dan proses penguasaannya bergantung kepada kematangan.
Hasil daripada teori ini timbul beberapa kaedah pengajaran bahasa seperti kaedah kognitif, dan sebagainya. Mangantar Simandjuntak (1987) menyatakan bahawa teori ini juga mengakui adanya pembelajaran melalui ‘trial and error’ (cuba ulang) tetapi dijalankan dengan penuh kesedaran.
Samsu Yaacob dan Marzhuki Nyak Abdullah (1988) membandingkan kedua-dua teori ini dengan mengatakan bahawa teori mekanis mempunyai alasan yang lebih kukuh daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan mentalis, yang lebih mementingkan innate capacitytetapi tidak dapat dibuktikan secara terperinci.
Golongan mekanis menganggap bahawa otak adalah sebagai kotak gelap dan manusia belajar menerusi perilaku serta memperoleh bahasa kerana adanya pengaruh persekitaran. Sedangkan golongan mentalis pula menganggap bahaw  pembelajaran bahasa yang mengetepikan fungsi otak atau fikiran adalah teori yang tidak bermakna. 




BEBERAPA PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA 

Abdullah Hassan (1986) mengemukakan definisi pendekatan dan kaedah dalam pengajaran bahasa yang berbeza. Beliau maksudkan 'pendekatan' sebagai sesuatu sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran bahasa, istilah ini merupakan satu kumpulan prinsip atau andaian yang berkaitan dengan bahasa, pengajaran bahasa dan pembelajaran bahasa tersebut. Pendekatan yang berlandaskan teori bahasa, teori pengajaran bahasa dan teori pembelajaran bahasa juga menyentuh cara bahasa itu diperolehi, bagaimana bahasa itu terlahir dan difahami serta perkara-perkara yang mengawal bahasa tersebut.
Kaedah pula Abdullah Hassan maksudkan sebagai langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang diatur untuk mengajar sesuatu bahasa atau bahagian-bahagiannya, sesuai dengan pendekatan yang dipegangnya. Daripada dua definisi ini nyatalah bahawa pendekatan dalam proses pengajaran sesuatu bahasa dapat dijadikan pegangan untuk mengatur kaedah pengajaran. Sementarapendekatan dan kaedah pula diperkukuh dengan teknik pengajaran atau muslihat penyampaian butiran-butiran pengajaran yang dapat mengarah kepada matlamat yang hendak dicapai oleh seseorang guru. Guru kerap membuat pertanyaan apakah pendekatan yang sesuai bagi menyampaikan sesuatu aspek bahasa kepadamurid-muridnya. Manakah yang lebih berkesanmenyampaikan rumusan-rumusan atau peraturan-peraturan bahasa lebih dahulu lalu diperkukuh dengan butiran-butiran contoh yang dikemukakan kemudian atau murid-murid dibimbing untuk membentuk rumusan sesuatu aspek bahasa hasil daripada perbincangan dan pemerhatian. 

Terdapat tiga pendekatan dalam proses pengajaran bahasa iaitu: 

4.1 PENDEKATAN DEDUKTIF 
Pendekatan yang mengemukakan pengajaran rumusan bahasa sebelum mencapai penggunaan bahasa yakni pelajar-pelajar diperkenalkan terlebih dahulu akan sejenis rumusan tatabahasa dengan jelas lalu diberikan contoh-contoh yang sesuai. Pelajar- pelajar kemudiannya meniru contoh-contoh tersebut dan menghafaznya. 
4.2 PENDEKATAN INDUKTIF 
Pendekatan ini dimaksudkan dengan guru menyampaikan beberapa struktur  penggunaan sesuatu aspek tatabahasa yang hendak diajarkannya. Kemudian para pelajar mengemukakan contoh-contoh lain yang serupa dengan struktur yang disampaikan oleh guru sebagai latihan lanjutan. Setelah itu para pelajar dibimbing untuk membuat pemerhatian kepada pembinaan struktur tersebut dankemudiannya membentuk generalisasi atau rumusan sendiri. 

4.3 PENDEKATAN ELEKTIK 
Pendekatan elektik ini merupakan gabung jalin antara pendekatan deduktif dan pendekatan induktif bagi menghasilkan satu strategi pengajaran yang lebih berkesan. Mengikut Abdullah Hassan (1986), strategi pengajaran yang berpandukan pendekatan elektik ini dimulai dengan guru memberikan contoh-contoh mengenai sesuatu unsur bahasa dan meminta para pelajar memberikan contoh-contoh yang serupa. Selepas itu, pelajar dibimbing untuk membuat pernyataan mengenai rumusan tatabahasa yang terlibat dan kemudian pelajar-pelajar mengemukakan lagi contoh-contoh lain. Sebaliknya guru boleh pula memulakan pengajarannya dengan memberikan rumusan tatabahasa yang berkenaan kemudian pelajar diminta memberikan penjelasan mengenai rumusantersebut dengan.mengemukakan contoh-contoh yang konkrit.
Jika kita teliti, pendekatan deduktif dan pendekatan induktif mempunyai matlamat yang serupa. Namun demikian, kaedah-kaedah yang mendukung pendekatan pengajaran ini menyebabkan lakuan yang berbeza terhadap pelajar. Pendekatan induktif yang lebih mengarah kepada aliran behaviourisme atau teori mekanis ini berpegang kepada rasa yakin bahawa penguasaan bahasa seseorang itu boleh tercapai dengan adanya latihan-latihan yang berulangan sehingga membentukkebiasaan atau tabiat. Sedangkan pendekatan deduktif pula banyak terbentuk hasil gerak balas mental atau fikiran untuk merumuskan sesuatu aspek pengajaran tatabahasa.
Apa sahaja pendekatan yang hendak kita terapi dalam pengajaran, penyesuaian kaedah pengajaran yang disusun serapi mungkin boleh mencapai matlamat yang menjadi sasaran kita. Terdapat beberapa kaedah pengajaran bahasa yang dikemukakan oleh para penyelidik pendidikan hasil daripada pemerhatian terhadap beberapa teori pemerolehan bahasa. Antaranya ialah : 

4.4 KAEDAH NAHU TERJEMAHAN
Kaedah ini menitikberatkan pelajar-pelajar menghafaz rumus-rumus tatabahasa dan ayat-ayat yang dikemukakan oleh pelajar mengarah kepada pol a atau struktur yang terdapat dalam rumusan tatabahasa berkenaan. Perbendaharaan kata diberikan di pangkal pengajaran menerusi terjemahan dan tumpuan pengajaran kerap mengarah kepada kesalahan umum dalam penggunaan bahasa. Kaedah ini lebih cenderung menghurai bahasa tulisan dan mengetepikan langsung bahasa pertuturan atau kemahiran-kemahiran komunikasi kerana terlalu banyak tekanan pengajaran diarahkan kepada pengetahuan peraturan bahasa dan kekecualian-kekecualiannya. 
4.5 KAEDAH TERUS
Kalaulah kaedah pengajaran Nahu Terjemahan membuat penumpuan kepada kemahiran berbahasa secara pasif, Kaedah Terus yang dikemukakan oleh Berlitz menekankan penggunaan struktur dan perbendaharaan kata bahasa seharian dalam situasi yang aktif. Komunikasi di dalam kelas terbentuk melalui interaksi antara guru dengan murid. Bahasa sasaran terus atau langsung diajar tanpa menggunakan terjemahan- terjemahan daripada bahasa ibunda. Bahan-bahan pengajaran disusun mengikut rumus-rumus nahu dan disampaikan secara latih tubi bagi membiasakan pelajar dengan pola-pola atau struktur ayat yang dipelajarinya. Kemahiran berbahasa akan terbentuk melalui latihan yang berulang-ulang melalui pertuturan. 
4.6 KAEDAH AUDIO-LINGUAL (DENGAR SEBUT)
Kaedah ini berorientasikan kemahiran mendengar dan bertutur, walaupun kemahiran membaca dan menulis tidak ketinggalan. Kaedah ini juga menekankan program pembelajaran bahasa untuk perhubungan atau komunikasi. Ada empat ciri kaedah dengar-sebut ini seperti mana yangdiketengahkan oleh Mohd Yasin Abdul Majid (1980), iaitu;
•Biasanya setiap perkara yang hendak dipelajari disampaikan dalam bentuk lisan, sebelum perkara tersebut wujud dalam bentuk tulisan,
•Kaedah pembelajaran bergantung kepada kebolehan menganalisis perbezaan di antara bahasa penutur dengan bahasa yang dipelajari secara saintifik,
•Penekanan harus diberikan dalam latih tubi mengenai bentuk bahasa itu dinamakan Pattern Practice (latihan pola), dan
•Memerlukan keadaan yang nyata di dalam perhubungan di antara individu dengan individu yang lain.
Selain daripada ciri-ciri tersebut, kaedah dengar sebut ini mengutamakan dialog sebagai alat yang ampuh menerangkan sesuatu bahasa dan penekanan yang berulang-ulang untuk melahirkan suatu tabiat. Kaedah ini tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu tatabahasa dan menolak pendekatan kaedah Nahu Terjemahan yang berbentuk intelektual yang cuba menghuraikan permasalahan bahasa.
Proses pembelajaran dilihat sebagai satu tabiat dan pelaziman tanpa melibatkan analisis yang bersifat intelektual atau menggerakkan daya fikir dan kreatif. Latihan-Iatihan berbentuk mudah dan aktif supaya pembelajaran tidak dianggap sebagai satu beban pemikiran. Kaedah ini juga menerapkan penggunaan peralatan mengajar seperti benda-benda maujud, gambar dan makmal bahasa. Penekanannya disampaikan secara berulang-ulang untuk membiasakan penggunaan bahasa seperti menerusi teknik latih tubi yang membolehkan para pelajar membuat gerak balas hasil daripada rangsangan guru. 
4.6 KAEDAH KOD KOGNITIF
Perbezaan yang jelas antara kaedah dengar sebut dengan kaedah kognitif ini ialah penggunaan pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kaedah ini lebih bersifat analisis sedangkan kaedah dengar sebut pula digerakkan secara analogi. Dengan analisis, pelajar menggunakan fikirannya untuk memahami sesuatu rumus tatabahasa.
Azman Wan Chik (1968) menerapkan beberapa ciri kaedah kognitif ini, iaitu;
•Menguasai dengan secara sedar pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal sesuatu bahasa,
•Pembelajaran dengan menganalisis pola-pola, dan
•Menekankan pemahaman para pelajar akan struktur sesuatu bahasa daripada kesenangan menggunakan struktur tersebut.
Para pengkaji pendidikan menyifatkan kaedah ini merupakan lanjutan atau penyesuaian daripada kaedah Nahu terjemahan. Dalam bentuknya yang baru, kaedah ini memberatkan soal penguasaan bahasa secara sedar, iaitu bahasa sebagai satu sistem yang bermakna.

Tuesday 27 November 2012

TEORI PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA






Teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa merupakan satu set kesimpulan atau rumusan pendapat yang dieprolehi hasil dari  penyelidikan dan hipotesis yang mendalam tentang bagaimana sesuatu bahasa itu dipelajari dan dikuasai oleh seseorang. Prinsip sesuatu teori yang diamalkan itu dijadikan asas bagi menentukan sesuatu prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran bahasa. Antara dua perspektif teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa kedua ialah;
1.    Teori Input Hipotesis – Stephen Krashen.
Stephen Krashen telah mengemukakan perspektif teoritikalnya mengenai pembelajaran bahasa kedua yang mendasari aliran innatis yang menjadi landasan kajian ini iaitu teori input hipotesis Stephan Krashen melalui tulisan buku dan artikelnya (1977, 1981, 1982, 1985, 1992, 1993, 1997). Evolusi teorinya bermula pada akhir tahun 1970-an, apabila Krashen memperkenalkan Teori Monitor (monitor model), seterusnya dikenali sebagai Hipotesis Pembelajaran dan Pemerolehan (Acquistion-Learning Hypothesis)  dan kini lebih popular dengan Input Hipotesis (Input Hypothesis) (Brown, 2002). Teori Input hipotesis Krashen ini merupakan gabungan daripada lima hipotesis iaitu;
(a)  Natural order hypothesis
Hipotesis ini adalah berdasarkan dapatan kajian (Dulay & Burt,1974, 1976) dan lain-lain yang menyatakan bahawa pemerolehan struktur dan rumus tatabahasa oleh pelajar bahasa kedua berlaku secara natural (natural order) di mana ia boleh diramal. Proses ini bergantung kepada faktor umur, latar belakang, dan tahap pendedahan pelajar tersebut kepada bahasa kedua. Namun demikian Krashen menjelaskan implikasi daripada hipotesisnya ini bukanlah bermaksud sukatan pembelajaran bahasa perlu digubal berdasarkan dapatan kajian ini tetapi beliau menolak pembelajaran tatabahasa yang diajar secara terpisah kerana matlamat pembelajaran bahasa ialah pemerolehan bahasa.
(b)  Acquisition/ Learning Hypothesis:
Krashen (1981) mengatakan terdapat dua cara yang digunakan oleh seseorang kanak-kanak atau dewasa untuk memupuk kompetensi bahasa kedua iaitu pemerolehan (acquisition)  dan pembelajaran  (learning).  Pemerolehan berlaku di bawah sedar (subconscious), yang hampir menyerupai proses seorang kanak-kanak memproses bahasa yang diperolehnya secara tidak langsung . Pembelajaran bahasa berlaku secara sedar (conscious)  iaitu satu proses di mana pelajar bahasa kedua akan mempelajari rumus tata bahasa dan berkesudahan dengan mengetahui mengenai bahasa tersebut.
 Menurut Krashen (1983) ; 
‘adults have two distinctive ways of developing competences in second languages .. acquisition, that is by using language for real communication … learning .. “knowing about” language’(m.s : 78)
Namun begitu, Krashen (1981a) mendakwa bahawa kompetensi menguasai bahasa kedua adalah lebih merujuk kepada bahasa yang diperoleh bukan dari apa yang dipelajari. Beliau mengatakan ;
“fluency in second language performance is due to what we have acquired, not what we have learned”(m.s : 99)
Kesannya, menurut Krashen (1981) seseorang perlu bersungguh-sungguh untuk memperoleh bahasa kedua bukan sekadar mempelajarinya sebagai cara untuknya meningkatkan kompetensi bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Seandainya ia tidak dicapai, pelajar bahasa kedua tersebut hanya sekadar mengetahui aspek tatabahasa dan pola-pola bahasa. McLaughlin (1987) telah membezakan istilah pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa. Menurutnya, bahasa dikatakan diperoleh secara tidak formal dalam persekitaran semulajadi seperti di tempat awam, pergaulan dengan jiran dan sebagainya. Bahasa dikatakan dipelajari secara formal apabila ia diajar di dalam bilik darjah. Krashen  menegaskan bahawa pemerolehan dua bahasa dalam persekitaran dwibahasa melibatkan sedikit gangguan dan persaingan antara dua sistem linguistik, sedangkan dalam pembelajaran di dalam kelas secara formal, pelajar mengalami banyak gangguan. Tambahan pula, pelajar yang belajar bahasa kedua tidak mempunyai hubungan langsung dengan penutur asli bahasa tersebut.
(c)  Monitor Hypothesis:
Menurut Krashen (1981) konsep pemantau  (monitor) lebih melibatkan pembelajaran (learning) bukan pemerolehan (acquisition). Ia berfungsi sebagai alat pemantau pertuturan  (output)  dan bertujuan memperbaiki ujaran yang dihasilkan oleh sistem. Hanya pemantau yang digunakan secara optima sahaja akan dapat meningkatkan tahap kompetensi komunikasi seseorang pelajar bahasa kedua. Menurut Krashen;
‘conscious learning … can only be used as a Monitor or an editor’ ( m.s : 80)
(d)  Input Hypothesis
Hipotesis ini beranggapan bahawa prasyarat terpenting seseorang pelajar bahasa kedua memperoleh bahasa apabila ia memahami input bahasa yang diperolehnya sama ada melalui pendengaran atau pembacaan. Pelajar bahasa kedua dianggap mengalami suatu perkembangan dari tahap i (kompetensi sekarang) menuju tahap i + I apabila ia sudah memahami input yang bermakna i + l iaitu melebihi daripada kebolehan pelajar pada tahap semasa. Menurut Krashen (1981) ;
“condition for language acquisition to occur is the acquirer understand (via hearing or reading) input language that contains structure a bitbeyond his or her current level of competence .. if an acquirer is at stage or level I, the input he or she understands should contains i + 1”(m.s : 100)
Krashen (1981)  menjelaskan  lebih banyak individu itu terdedah kepada rangsangan yang bermakna, maka lebih banyak pengetahuan dan maklumat bahasa akan mereka kuasai. Tambahnya lagi orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih matang secara keseluruhannya dapat menguasai bahasa kedua dengan lebih cepat.
(e)  Affective Filter Hypothesis
Hipotesis ini  menjelaskan faktor-faktor afektif mempunyai kaitan tetapi bukan penyebab, dengan proses pemerolehan bahasa. Konsep ini dikemukakan oleh Dulay dan Burt (1977). Krashen (1985) mendapati pelajar bahasa kedua yang mempunyai motivasi yang tinggi, keyakinan diri, penampilan diri yang baik dan tahap kerisauan yang rendah mempunyai peluang kejayaan yang lebih untuk menguasai bahasa kedua . Sebaliknya motivasi yang rendah, keyakinan diri yang kurang dan kerunsingan akan meningkatkan ‘affective filter’  dan membina ‘mental block’ yang akan mencegah input bahasa yang difahami ‘comprehensible input’ dari diperoleh oleh pelajar bahasa kedua. Menurutnya;
‘a mental block, caused by affective factors … that prevents input from reaching the language acquisition device’(m.s :100)
Krashen (1985) telah mengemukakan bukti-bukti berikut di dalam mempertahankan hipotesisnya ; (a) seseorang akan bertutur dengan kanak-kanak yang memperoleh bahasa ibunda dengan cara yang tersendiri berbeza apabila ia bertutur dengan pelajar bahasa kedua, (b) perbandingan kejayaan pemerolehan bahasa di antara kanak-kanak dan pelajar dewasa dalam menguasai bahasa mencerminkan tahap pemerolehan ‘comprehensible input’ yang berbeza,
 (c) semakin banyak ‘comprehensible input’ diperoleh oleh seseorang pelajar bahasa kedua, semakin tinggi tahap kompetensi dan kekurangan ‘comprehensible input’ akan melewatkan proses pemerolehan bahasa keduanya, dan
(d) metodologi pengajaran perlu berdasarkan kepada konsep perluasan ‘comprehensible input’ kepada pelajar. .Krashen (1985) di dalam satu tinjauan mengenai kajian pembelajaran bahasa kedua membuat kesimpulan bahawa orang dewasa berjaya melalui peringkat awal pembentukan sintaksis dan morfologi lebih cepat daripada kanak-kanak. Beliau juga mendapati mereka yang memperoleh bahasa kedua melalui pendedahan persekitaran semasa kanak-kanak mencapai penguasaan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang memperolehnya ketika dewasa.


BAHASA KEDUA



DEFINISI BAHASA KEDUA

Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua “adalah bahasa yang kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh. Bahasa kedua ini adalah bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu.”
Sayugianya, kita mengetahui bahawa penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula jadi semenjak kecil lagi. Pada tahap ini, pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak langsung atau tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) :
“Mereka dapat menguasai bahasa itu dengan cara ‘memperoleh’ bukan melalui proses pembelajaran. Mereka hanya perlu didedahkan kepada bahasa ibunda mereka dan secara tidak disedari mereka akan pandai dengan sendirinya menggunakan bahasa itu.”
Situasi ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Bahasa kedua mesti dipelajari secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
Jelasnya, pemerolehan bahasa kedua merupakan proses atau tahap untuk memperoleh dan belajar bahasa baru setelah menguasai bahasa pertama atau bahasa ibu dengan tujuan tertentu sehingga dapat menguasai bahasa kedua sebaik bahasa pertamanya.

PENGUASAAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

Pengajaran bahasa kedua memang berbeza dengan  penguasaan bahasa pertama. Bahasa kedua diperoleh dan dikuasai melalui proses pembelajaran. Pembelajarannya bersifat formal, menekankan banyak latihan dan pengulangan hingga membentuk satu tabiat. Rivers W. M (1964) menyatakan pembelajaran bahasa asing pada dasarnya adalah merupakan satu proses mekanikal yang membentuk tabiat. Natijahnya, cara penguasaannya adalah sama dengan proses pembentukan tabiat yang lain seperti belajar menaip, berenang, memandu, dan seumpamnya. Prinsip asas dalam proses pembelajaran menetapkan jika sekali berjaya dilakukan dengan baik maka ia akan dapat diulangkan untuk seterusnya secara automatik. Proses penguasaan bahasa kedua pada peringkat awal kanak-kanak berkemungkinan sama dengan proses penguasaan bahasa pertama. Namun, proses penguasaan bahasa kedua selepas peringkat awal kanak-kanak akan mengalami cara yang berbeza dengan proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama. Hal ini telah ditegaskan oleh Brown (1980) :
“Adult, more cognitively secure,appear to operate from the solid foundation of the first language and thus manifest more interference.”

Selanjutnya, Rivers berdasarkan teori pendekatan mengajar bahasa iaitu ‘pendekatan dengar sebut’ mengujarkan bahawa :

I.         Pembelajaran bahasa asing pada asasnya adalah merupakan satu proses yang mekanikal membentuk tabiat.
II.        Analogi memberi asas yang lebih kukuh terhadap pembelajaran bahasa asing berbanding analisa.

Melalui kenyataan tersebut dapatlah diandaikan bahawa tabiat terbentuk melalui peneguhan. Tabiat berbahasa kedua boleh dibentuk dengan cara mempelajari atau latih tubi. Ia memainkan peranan penting bagi menggalakkan tabiat berfungsi.
         Menurut pendekatan kognitif (Chomsky), mempelajari bahasa ialah satu proses menguasai pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal bahasa berkenaan. Teori ini menekankan kepentingan pemahaman murid terhadap struktur bahasa. Kesenangan murid mempelajari bahasa kedua akan menyebabkan penguasaan kognitif mereka terhadap struktur bahasa itu mudah berkembang.


PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN BAHASA KEDUA

a)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk tulisan.
b)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan membentuk perlakuan dan tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui latihan-latihan dan peneguhan.