Tuesday 27 November 2012

TEORI PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA






Teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa merupakan satu set kesimpulan atau rumusan pendapat yang dieprolehi hasil dari  penyelidikan dan hipotesis yang mendalam tentang bagaimana sesuatu bahasa itu dipelajari dan dikuasai oleh seseorang. Prinsip sesuatu teori yang diamalkan itu dijadikan asas bagi menentukan sesuatu prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran bahasa. Antara dua perspektif teori pemerolehan dan pembelajaran bahasa kedua ialah;
1.    Teori Input Hipotesis – Stephen Krashen.
Stephen Krashen telah mengemukakan perspektif teoritikalnya mengenai pembelajaran bahasa kedua yang mendasari aliran innatis yang menjadi landasan kajian ini iaitu teori input hipotesis Stephan Krashen melalui tulisan buku dan artikelnya (1977, 1981, 1982, 1985, 1992, 1993, 1997). Evolusi teorinya bermula pada akhir tahun 1970-an, apabila Krashen memperkenalkan Teori Monitor (monitor model), seterusnya dikenali sebagai Hipotesis Pembelajaran dan Pemerolehan (Acquistion-Learning Hypothesis)  dan kini lebih popular dengan Input Hipotesis (Input Hypothesis) (Brown, 2002). Teori Input hipotesis Krashen ini merupakan gabungan daripada lima hipotesis iaitu;
(a)  Natural order hypothesis
Hipotesis ini adalah berdasarkan dapatan kajian (Dulay & Burt,1974, 1976) dan lain-lain yang menyatakan bahawa pemerolehan struktur dan rumus tatabahasa oleh pelajar bahasa kedua berlaku secara natural (natural order) di mana ia boleh diramal. Proses ini bergantung kepada faktor umur, latar belakang, dan tahap pendedahan pelajar tersebut kepada bahasa kedua. Namun demikian Krashen menjelaskan implikasi daripada hipotesisnya ini bukanlah bermaksud sukatan pembelajaran bahasa perlu digubal berdasarkan dapatan kajian ini tetapi beliau menolak pembelajaran tatabahasa yang diajar secara terpisah kerana matlamat pembelajaran bahasa ialah pemerolehan bahasa.
(b)  Acquisition/ Learning Hypothesis:
Krashen (1981) mengatakan terdapat dua cara yang digunakan oleh seseorang kanak-kanak atau dewasa untuk memupuk kompetensi bahasa kedua iaitu pemerolehan (acquisition)  dan pembelajaran  (learning).  Pemerolehan berlaku di bawah sedar (subconscious), yang hampir menyerupai proses seorang kanak-kanak memproses bahasa yang diperolehnya secara tidak langsung . Pembelajaran bahasa berlaku secara sedar (conscious)  iaitu satu proses di mana pelajar bahasa kedua akan mempelajari rumus tata bahasa dan berkesudahan dengan mengetahui mengenai bahasa tersebut.
 Menurut Krashen (1983) ; 
‘adults have two distinctive ways of developing competences in second languages .. acquisition, that is by using language for real communication … learning .. “knowing about” language’(m.s : 78)
Namun begitu, Krashen (1981a) mendakwa bahawa kompetensi menguasai bahasa kedua adalah lebih merujuk kepada bahasa yang diperoleh bukan dari apa yang dipelajari. Beliau mengatakan ;
“fluency in second language performance is due to what we have acquired, not what we have learned”(m.s : 99)
Kesannya, menurut Krashen (1981) seseorang perlu bersungguh-sungguh untuk memperoleh bahasa kedua bukan sekadar mempelajarinya sebagai cara untuknya meningkatkan kompetensi bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Seandainya ia tidak dicapai, pelajar bahasa kedua tersebut hanya sekadar mengetahui aspek tatabahasa dan pola-pola bahasa. McLaughlin (1987) telah membezakan istilah pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa. Menurutnya, bahasa dikatakan diperoleh secara tidak formal dalam persekitaran semulajadi seperti di tempat awam, pergaulan dengan jiran dan sebagainya. Bahasa dikatakan dipelajari secara formal apabila ia diajar di dalam bilik darjah. Krashen  menegaskan bahawa pemerolehan dua bahasa dalam persekitaran dwibahasa melibatkan sedikit gangguan dan persaingan antara dua sistem linguistik, sedangkan dalam pembelajaran di dalam kelas secara formal, pelajar mengalami banyak gangguan. Tambahan pula, pelajar yang belajar bahasa kedua tidak mempunyai hubungan langsung dengan penutur asli bahasa tersebut.
(c)  Monitor Hypothesis:
Menurut Krashen (1981) konsep pemantau  (monitor) lebih melibatkan pembelajaran (learning) bukan pemerolehan (acquisition). Ia berfungsi sebagai alat pemantau pertuturan  (output)  dan bertujuan memperbaiki ujaran yang dihasilkan oleh sistem. Hanya pemantau yang digunakan secara optima sahaja akan dapat meningkatkan tahap kompetensi komunikasi seseorang pelajar bahasa kedua. Menurut Krashen;
‘conscious learning … can only be used as a Monitor or an editor’ ( m.s : 80)
(d)  Input Hypothesis
Hipotesis ini beranggapan bahawa prasyarat terpenting seseorang pelajar bahasa kedua memperoleh bahasa apabila ia memahami input bahasa yang diperolehnya sama ada melalui pendengaran atau pembacaan. Pelajar bahasa kedua dianggap mengalami suatu perkembangan dari tahap i (kompetensi sekarang) menuju tahap i + I apabila ia sudah memahami input yang bermakna i + l iaitu melebihi daripada kebolehan pelajar pada tahap semasa. Menurut Krashen (1981) ;
“condition for language acquisition to occur is the acquirer understand (via hearing or reading) input language that contains structure a bitbeyond his or her current level of competence .. if an acquirer is at stage or level I, the input he or she understands should contains i + 1”(m.s : 100)
Krashen (1981)  menjelaskan  lebih banyak individu itu terdedah kepada rangsangan yang bermakna, maka lebih banyak pengetahuan dan maklumat bahasa akan mereka kuasai. Tambahnya lagi orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih matang secara keseluruhannya dapat menguasai bahasa kedua dengan lebih cepat.
(e)  Affective Filter Hypothesis
Hipotesis ini  menjelaskan faktor-faktor afektif mempunyai kaitan tetapi bukan penyebab, dengan proses pemerolehan bahasa. Konsep ini dikemukakan oleh Dulay dan Burt (1977). Krashen (1985) mendapati pelajar bahasa kedua yang mempunyai motivasi yang tinggi, keyakinan diri, penampilan diri yang baik dan tahap kerisauan yang rendah mempunyai peluang kejayaan yang lebih untuk menguasai bahasa kedua . Sebaliknya motivasi yang rendah, keyakinan diri yang kurang dan kerunsingan akan meningkatkan ‘affective filter’  dan membina ‘mental block’ yang akan mencegah input bahasa yang difahami ‘comprehensible input’ dari diperoleh oleh pelajar bahasa kedua. Menurutnya;
‘a mental block, caused by affective factors … that prevents input from reaching the language acquisition device’(m.s :100)
Krashen (1985) telah mengemukakan bukti-bukti berikut di dalam mempertahankan hipotesisnya ; (a) seseorang akan bertutur dengan kanak-kanak yang memperoleh bahasa ibunda dengan cara yang tersendiri berbeza apabila ia bertutur dengan pelajar bahasa kedua, (b) perbandingan kejayaan pemerolehan bahasa di antara kanak-kanak dan pelajar dewasa dalam menguasai bahasa mencerminkan tahap pemerolehan ‘comprehensible input’ yang berbeza,
 (c) semakin banyak ‘comprehensible input’ diperoleh oleh seseorang pelajar bahasa kedua, semakin tinggi tahap kompetensi dan kekurangan ‘comprehensible input’ akan melewatkan proses pemerolehan bahasa keduanya, dan
(d) metodologi pengajaran perlu berdasarkan kepada konsep perluasan ‘comprehensible input’ kepada pelajar. .Krashen (1985) di dalam satu tinjauan mengenai kajian pembelajaran bahasa kedua membuat kesimpulan bahawa orang dewasa berjaya melalui peringkat awal pembentukan sintaksis dan morfologi lebih cepat daripada kanak-kanak. Beliau juga mendapati mereka yang memperoleh bahasa kedua melalui pendedahan persekitaran semasa kanak-kanak mencapai penguasaan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang memperolehnya ketika dewasa.


No comments:

Post a Comment