Saturday 1 December 2012

FAKTOR MEMBANTU KEJAYAAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

Terdapat beberapa unsur tertentu yang harus ada dan perlu wujud bagi menghasilkan pembelajaran bahasa kedua: 

 a. Motif
Motif itu timbul dari tujuan kenapa seseorang itu ingin mempelajari bahasa kedua. Kalau ada tujuannya maka lahirlah motif yang mendorongnya. Motif juga mungkin terbit dari keinginan memelihara identiti dan budaya sesuatu kaum.

 b. Keupayaan
Keupayaan ini berhubung rapat dengan kecerdasan otak seseorang itu. Walau seseorang itu berkeupayaan mempelajari bahasa apa pun. Tetapi peringkat kejayaannya tentulah berlainan. Keupayaan ini semakin berkurangan apabila orang itu menjadi lebih lanjut umurnya, iaitu apabila ia telah melangkaui jangka masa yang subur untuk perkembangan bahasa tersebut secara semulajadi. Tetapi proses itu akan menjadi lebih sukar bagi orang yang sudah meningkat umurnya.

c. Sikap
Selalunya motif dan keupayaan ini dibantu dengan sikap dalam mempelajari sesuatu bahasa itu. Dalam sikap ini dapat melihat dari segi psikologi sama ada seseorang itu merasa bahawa pembelajaran bahasa itu akan mendatangkan faedah kepadanya, serta tidak mengancam kedudukan atau identitinya.

d. Peluang
Peluang merupakan satu faktor penting dalam mempelajari bahasa. Peluang ini mungkin tidak wujud disebabkan perbelanjaan yang mahal yang mungkin tidak mengizinkan orang itu belajar. Kadang- kadang ketiadaan guru, buku teks, masa dan peralatan yang sempurna akan menghalang pembelajaran bahasa tersebut. Jadi untuk menjayakan pembelajaran bahasa itu maka perlulah adanya peluang untuk belajar, baik dari dalam mahupun dari luar kelas. 

e. Lingkungan
 Lingkungan di mana pelajar itu tinggal, dalam bentuk masyarakat dan individu dan suasana politik tentu sekali akan dapat juga membantu pencapaian dalam mempelajari bahasa. 


KEMUNGKINAN KEJAYAAN MEMPELAJARI BAHASA KEDUA 

 D.N. Larson dan W.A. Smalley (1972) meyarankan tujuh perkara atau faktor yang dapat memberi sedikit penjelasan mengenai kemungkinan berhasilnya pembelajaran bahasa kedua itu. 

 1. Pelajar yang mempunyai keupayaan yang tinggi, serta diberi peluang yang baik dan mempunyai motif yang kukuh dan sikap yang sihat serta belajar dalam lingkungan masyarakat yang mendorong, maka usahanya dalam pembelajaran bahasa itu tentu sekali akan berjaya.

 2. Seorang yang mempunyai motif tinggi dan diberi peluang baik, tetapi tidak mempunyai keupayaan yang tinggi terhadap pembelajaran bahasa, akan mencapai kejayaan yang baik juga. 

3. Seorang yang mempunyai motif yang tinggi serta ada sikap dan keupayaan baik, tetapi kurang berpeluang, harus juga mencapai kejayaan yang agak baik kalaulah ada individu di sekelilingnya yang memberi sokongan kepada pembelajarannya itu.

4. Kalau seorang pelajar itu berpeluang baik untuk belajar bahasa dan mempunyai keupayaan tinggi, maka kejayaannya bergantung pada motifnya.

5. Kalau seorang pelajar itu bermotif tetapi tidak mempunyai keupayaan, sikap dan peluang untuk belajar maka dia harus gagal. Kalaulah kebudayaan dan masyarakat sekelilingnya membantu maka ada juga sedikit harapan untuk mendapat sedikit kejayaan. 

6. Kalau seorang pelajar itu mendapat peluang baik untuk belajar bahasa tetapi tidak mempunyai keupayaan dan motif, maka dia akan gagal. Peluang yang diberi kepadanya akan sia-sia. Kebudayaan yang menyokong pembelajaran itu juga akan membosankannya. 

 7. Pelajar yang berkeupayaan tinggi, tetapi tidak bermotif dan juga tidak diberi peluang akan gagal. Walau bagaimanapun lingkungan yang menyokong mungkin membantunya mencari motif, kalau tidak dia akan gagal.

No comments: