Saturday 1 December 2012

sikap dan kesediaan pelajar mempelajari bahasa kedua



Cara penguasaan bahasa pertama dan kedua adalah berbeza. Penguasaan bahasa pertama adalah melalui pemerolehan iaitu proses semulajadi yang melibatkan keadaan mental itu berada pada situasi yang tidak sedar dan tidak dirancang seperti cara bayi memperoleh bahasa ibundanya. Manakala bahasa kedua diperolehi dalam bentuk pembelajaran bahasa baru yang dirancang dengan proses yang sengaja sifatnya. 
Sikap pula mempunyai perkaitan rapat dengan pencapaian seseorang di dalam pembelajarannya. Sikap ialah sesuatu yang abstrak dan hanya dapat dilihat atau dirasa melalui tindakan yang diambil. Dalam pembelajaran bahasa kedua, sikap banyak mempengaruhi sejauh mana pelajar dapat mempelajari dan menguasainya dengan cepat (Zamri Mahmud, 2007:201). Faktor diri sendiri merupakan faktor yang paling mempengaruhi seseorang untuk mempelajari sesuatu bahasa. Jika pelajar itu memiliki sikap yang positif seperti kesedaran tentang pentingnya bahasa yang dipelajarinya , maka dia akan cuba menguasai bahasa tersebut dengan pelbagai cara.
Kesediaan belajar adalah satu situasi yang memungkinkan seseorang itu untuk belajar. Thorndike (1932) dalam Kamaruddin Hussin ( 1993:44) yang mengutarakan prinsip kesediaan belajar  berpendapat  bahawa proses pembelajaran itu akan menjadi lebih berkesan sekiranya sudah wujud kesediaan dalam diri murid-murid untuk menerimanya. Pembelajaran itu tidak boleh dipaksa jika belum sampai masanya, dan sekiranya dilakukan juga, ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik dan sempurna. Kesediaan yang dimaksudkan ialah kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor.
Motivasi pula ialah penggerak yang melibatkan proses membangkit, mengekal dan mengawal minat (Bernard H.W., 1965 dalam Kamaruddin Hussin, 1993:59). Motivasi sangat penting dalam proses P&P kerana ia dapat menentukan hala tuju dan keberkesanannya. Pelajar yang bermotivasi tinggi biasanya mempunyai dorongan yang kuat dan mantap untuk terus berminat dengan apa yang disampaikan hasil dari rangsangan-rangsangan yang kuat iaitu menerusi insentif dan motif. Insentif dalam P&P sering disampaikan dalam bentuk ekstrinsik seperti markah, gred, wang, pujian, penghargaan, tanda bintang dan sebagainya.Motif pula timbul akibat dorongan semula jadi  atau kecenderungan individu  yang menggerakkan individu untuk bertindak bagi mencapai sesuatu matlamat walaupun dalam tempoh yang lama.  Oleh  kerana para pelajar mempunyai kecenderungan dan minat yang berbeza, mereka  harus dibantu supaya berminat untuk belajar. Sebagai guru pula, seboleh-bolehnya dapat memilih bahan-bahan P&P, kaedah dan teknik pengajaran yang memenuhi keperluan dan minat pelajar mereka.  Motif adalah sebagai penggiat, pemilih dan pengarah gerak kerja yang berkait rapat dengan sikap dan minat.
Dalam pembelajaran bahasa kedua, sikap, kesediaan dan motivasi adalah berkait rapat antara satu sama lain. Para pelajar yang mempunyai sikap yang positif, bersedia untuk belajar  dan bermotivasi tinggi akan berjaya menguasai bahasa sasaran dan begitulah sebaliknya. Dengan kata lain, sikap seseorang terhadap sesuatu bahasa mempengaruhi motivasinya untuk belajar bahasa tersebut (Gardner & Lambert (1972) dalam Zamri Mahamod,  2007:197).

No comments:

Post a Comment