Friday 30 November 2012

TEORI PEMEROLEHAN DAN PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA



TEORI PEMBELAJARAN BAHASA

Dalam kajian linguistik terdapat banyak teori pemerolehan bahasa, tetapi secara keseluruhannya, teori-teori tersebut boleh digolongkan kepada dua golongan besar iaitu Teori Mekanis dan Teori Mentalis. Noam Chomsky meletakkan teori Mekanis sebagai Teori Empirisis dan Teori Mentalis yang digerakkannya sendiri sebagai Teori rasionalis. Sementara W.M. Rivers pula menyebut Teori Mekanis sebagai Teori Aktivis dan Teori mentalis pula sebagai teori Formalis. Dan aliran yang terbentuk daripada kedua-dua teori ini disebut pula sebagai Aliran Behaviourisme dan Aliran Mentalisme. 
3.1 Teori Mekanis
Teori Mekanis (empirisis / aktivis) menekankan bahawa pemerolehan bahasa terjadi melalui sesuatu lakuan dan penguasaannya adalah hasil operasi stimulus (rangsangan) dan respons (gerak balas) yang merupakan proses naluri semata-mata, bukan proses mental atau kognitif. Teori mekanis ini didasarkan kepada dapatan-dapatan hasil daripada percubaan-percubaan ke atas haiwan, sekadarcontoh Skinner menggunakan tikus dan Pavlov pula menggunakan anjing. Hasil daripada percubaan-percubaan ini, haiwan-haiwan tersebut membuat gerak balas apabila adanya rangsangan yang diulang-ulangi sehingga lakuan tersebut menjadi satu tabiat.
Begitu juga dengan pengukuhan bahasa seseorang. Pengukuhan hanya boleh berlaku apabila seseorang mengulang-ulangi lakuan berdasarkan kepada rangsangan-rangsangan sehingga membentuk satu kebiasaan pula. Teori ini juga mengetepikan fungsi otak atau mental seseorang bagi mengukuhkan butiran-butiran bahasa yang diterimanya atau mengulang-ulang melakukan aktiviti yang boleh membentuk satu tabiat atau kebiasaan.
Bloomfield (1942) yang berpegang teguh kepada teori ini berpendapat bahawa penguasaan bahasa bukanlah semata-mata merupakan ilmu pengetahuan. Bahasa dikuasai melalui latihan dan ia mesti dipelajari lebih daripada biasa. Mengikut Azman Wan Chik (1982), proses pembelajaran bahasa adalah merupakan satu proses mekanikal (dibandingkan dengan proses mental). Jadi penguasaan bahasa bolehlah disamakan dengan proses-proses pembentukan tabiat yang lain seperti belajar memandu kereta dan berenang yang jika diulang kali berjaya dilakukan dengan memuaskan, akan dapat diulangkan seterusnya dengan cara yang automatis.
Hasil daripada teori ini, terbit beberapa kaedah pengajaran bahasa yang disebut Kaedah Terus, Kaedah Audio-lingual (Kaedah Dengar Sebut) dan sebagainya.
 3.2 Teori Mentalis 
Teori Mentalis ini pula amat bertentangan dengan teori mekanis. Teori Mekanis yang banyak menggunakan percubaan ke atas haiwan dan menerapkan bahawa pembelajaran dan pengukuhan bahasa boleh berjaya jika adanya rangsangan dan gerak balas telah disangkal oleh golongan mentalis ini dengan mengatakan bahawa manusia sebagai “makhluk yang berfikir” dan berbeza dengan makhluk haiwan. Pembelajaran dan pengukuhan bahasa didapati secara sedar ataudengan kata lain berhubung kait dengan daya fikir seseorang. Menurut Noam Chomsky (1959) proses pembelajaran bahasa peringkat permulaan diperolehi tidak semata-mata bergantung kepada operasi rangsang dan gerak balas sahaja. Proses Kognitif sudah pasti turut serta. Tanpa peranankognitif, perkembangan bahasa terbatas pada yang dapat dialami sahaja, pada hal semua komponen bahasa berkembang secara kreatif atau melangkau batasan pengalaman naluriah iaitu rangsangan dan gerak balas. Perkembangan bahasa secara kreatif adalah hasil turut sertanya peranan operasi mental atau kognitif.
Seperti yang kita maklum bahawa bahasa adalah tindakan kreatif yang hanya ada pada manusia. Kreativiti manusia menggunakan bahasa hanya dapat difahami dengan menerima hakikat bahawa bahasa adalah satu sistem yang teratur sebagai sebahagian daripada proses kognitif manusia. Dalam hal inilah, sebarang teori yang digerakkan dengan rangsangan dan gerak balas mampu menghurai kreativiti dan kelenturan orang menggunakan bahasa. Diller (1971) yang membincangkan teori mentalis ini membuat empat andaian berikut:
•Bahasa yang hidup itu bersifat satu tingkah laku yang ditetapkan dengan
peraturan-peraturan,
•Bahasa digunakan untuk berfikir;
•Peraturan-peraturan tatabahasa itu nyata darisegi psikologi; dan
•manusia adalah unik dengan keupayaannya berbahasa.
Seperkara lagi tentang teori mentalis ini ialah seseorang kanak-kanak telah dilahirkan dengan innate capacity (kebolehan semula jadi) yang membentuk keupayaan berbahasa dan proses penguasaannya bergantung kepada kematangan.
Hasil daripada teori ini timbul beberapa kaedah pengajaran bahasa seperti kaedah kognitif, dan sebagainya. Mangantar Simandjuntak (1987) menyatakan bahawa teori ini juga mengakui adanya pembelajaran melalui ‘trial and error’ (cuba ulang) tetapi dijalankan dengan penuh kesedaran.
Samsu Yaacob dan Marzhuki Nyak Abdullah (1988) membandingkan kedua-dua teori ini dengan mengatakan bahawa teori mekanis mempunyai alasan yang lebih kukuh daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan mentalis, yang lebih mementingkan innate capacitytetapi tidak dapat dibuktikan secara terperinci.
Golongan mekanis menganggap bahawa otak adalah sebagai kotak gelap dan manusia belajar menerusi perilaku serta memperoleh bahasa kerana adanya pengaruh persekitaran. Sedangkan golongan mentalis pula menganggap bahaw  pembelajaran bahasa yang mengetepikan fungsi otak atau fikiran adalah teori yang tidak bermakna. 




BEBERAPA PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA 

Abdullah Hassan (1986) mengemukakan definisi pendekatan dan kaedah dalam pengajaran bahasa yang berbeza. Beliau maksudkan 'pendekatan' sebagai sesuatu sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran bahasa, istilah ini merupakan satu kumpulan prinsip atau andaian yang berkaitan dengan bahasa, pengajaran bahasa dan pembelajaran bahasa tersebut. Pendekatan yang berlandaskan teori bahasa, teori pengajaran bahasa dan teori pembelajaran bahasa juga menyentuh cara bahasa itu diperolehi, bagaimana bahasa itu terlahir dan difahami serta perkara-perkara yang mengawal bahasa tersebut.
Kaedah pula Abdullah Hassan maksudkan sebagai langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang diatur untuk mengajar sesuatu bahasa atau bahagian-bahagiannya, sesuai dengan pendekatan yang dipegangnya. Daripada dua definisi ini nyatalah bahawa pendekatan dalam proses pengajaran sesuatu bahasa dapat dijadikan pegangan untuk mengatur kaedah pengajaran. Sementarapendekatan dan kaedah pula diperkukuh dengan teknik pengajaran atau muslihat penyampaian butiran-butiran pengajaran yang dapat mengarah kepada matlamat yang hendak dicapai oleh seseorang guru. Guru kerap membuat pertanyaan apakah pendekatan yang sesuai bagi menyampaikan sesuatu aspek bahasa kepadamurid-muridnya. Manakah yang lebih berkesanmenyampaikan rumusan-rumusan atau peraturan-peraturan bahasa lebih dahulu lalu diperkukuh dengan butiran-butiran contoh yang dikemukakan kemudian atau murid-murid dibimbing untuk membentuk rumusan sesuatu aspek bahasa hasil daripada perbincangan dan pemerhatian. 

Terdapat tiga pendekatan dalam proses pengajaran bahasa iaitu: 

4.1 PENDEKATAN DEDUKTIF 
Pendekatan yang mengemukakan pengajaran rumusan bahasa sebelum mencapai penggunaan bahasa yakni pelajar-pelajar diperkenalkan terlebih dahulu akan sejenis rumusan tatabahasa dengan jelas lalu diberikan contoh-contoh yang sesuai. Pelajar- pelajar kemudiannya meniru contoh-contoh tersebut dan menghafaznya. 
4.2 PENDEKATAN INDUKTIF 
Pendekatan ini dimaksudkan dengan guru menyampaikan beberapa struktur  penggunaan sesuatu aspek tatabahasa yang hendak diajarkannya. Kemudian para pelajar mengemukakan contoh-contoh lain yang serupa dengan struktur yang disampaikan oleh guru sebagai latihan lanjutan. Setelah itu para pelajar dibimbing untuk membuat pemerhatian kepada pembinaan struktur tersebut dankemudiannya membentuk generalisasi atau rumusan sendiri. 

4.3 PENDEKATAN ELEKTIK 
Pendekatan elektik ini merupakan gabung jalin antara pendekatan deduktif dan pendekatan induktif bagi menghasilkan satu strategi pengajaran yang lebih berkesan. Mengikut Abdullah Hassan (1986), strategi pengajaran yang berpandukan pendekatan elektik ini dimulai dengan guru memberikan contoh-contoh mengenai sesuatu unsur bahasa dan meminta para pelajar memberikan contoh-contoh yang serupa. Selepas itu, pelajar dibimbing untuk membuat pernyataan mengenai rumusan tatabahasa yang terlibat dan kemudian pelajar-pelajar mengemukakan lagi contoh-contoh lain. Sebaliknya guru boleh pula memulakan pengajarannya dengan memberikan rumusan tatabahasa yang berkenaan kemudian pelajar diminta memberikan penjelasan mengenai rumusantersebut dengan.mengemukakan contoh-contoh yang konkrit.
Jika kita teliti, pendekatan deduktif dan pendekatan induktif mempunyai matlamat yang serupa. Namun demikian, kaedah-kaedah yang mendukung pendekatan pengajaran ini menyebabkan lakuan yang berbeza terhadap pelajar. Pendekatan induktif yang lebih mengarah kepada aliran behaviourisme atau teori mekanis ini berpegang kepada rasa yakin bahawa penguasaan bahasa seseorang itu boleh tercapai dengan adanya latihan-latihan yang berulangan sehingga membentukkebiasaan atau tabiat. Sedangkan pendekatan deduktif pula banyak terbentuk hasil gerak balas mental atau fikiran untuk merumuskan sesuatu aspek pengajaran tatabahasa.
Apa sahaja pendekatan yang hendak kita terapi dalam pengajaran, penyesuaian kaedah pengajaran yang disusun serapi mungkin boleh mencapai matlamat yang menjadi sasaran kita. Terdapat beberapa kaedah pengajaran bahasa yang dikemukakan oleh para penyelidik pendidikan hasil daripada pemerhatian terhadap beberapa teori pemerolehan bahasa. Antaranya ialah : 

4.4 KAEDAH NAHU TERJEMAHAN
Kaedah ini menitikberatkan pelajar-pelajar menghafaz rumus-rumus tatabahasa dan ayat-ayat yang dikemukakan oleh pelajar mengarah kepada pol a atau struktur yang terdapat dalam rumusan tatabahasa berkenaan. Perbendaharaan kata diberikan di pangkal pengajaran menerusi terjemahan dan tumpuan pengajaran kerap mengarah kepada kesalahan umum dalam penggunaan bahasa. Kaedah ini lebih cenderung menghurai bahasa tulisan dan mengetepikan langsung bahasa pertuturan atau kemahiran-kemahiran komunikasi kerana terlalu banyak tekanan pengajaran diarahkan kepada pengetahuan peraturan bahasa dan kekecualian-kekecualiannya. 
4.5 KAEDAH TERUS
Kalaulah kaedah pengajaran Nahu Terjemahan membuat penumpuan kepada kemahiran berbahasa secara pasif, Kaedah Terus yang dikemukakan oleh Berlitz menekankan penggunaan struktur dan perbendaharaan kata bahasa seharian dalam situasi yang aktif. Komunikasi di dalam kelas terbentuk melalui interaksi antara guru dengan murid. Bahasa sasaran terus atau langsung diajar tanpa menggunakan terjemahan- terjemahan daripada bahasa ibunda. Bahan-bahan pengajaran disusun mengikut rumus-rumus nahu dan disampaikan secara latih tubi bagi membiasakan pelajar dengan pola-pola atau struktur ayat yang dipelajarinya. Kemahiran berbahasa akan terbentuk melalui latihan yang berulang-ulang melalui pertuturan. 
4.6 KAEDAH AUDIO-LINGUAL (DENGAR SEBUT)
Kaedah ini berorientasikan kemahiran mendengar dan bertutur, walaupun kemahiran membaca dan menulis tidak ketinggalan. Kaedah ini juga menekankan program pembelajaran bahasa untuk perhubungan atau komunikasi. Ada empat ciri kaedah dengar-sebut ini seperti mana yangdiketengahkan oleh Mohd Yasin Abdul Majid (1980), iaitu;
•Biasanya setiap perkara yang hendak dipelajari disampaikan dalam bentuk lisan, sebelum perkara tersebut wujud dalam bentuk tulisan,
•Kaedah pembelajaran bergantung kepada kebolehan menganalisis perbezaan di antara bahasa penutur dengan bahasa yang dipelajari secara saintifik,
•Penekanan harus diberikan dalam latih tubi mengenai bentuk bahasa itu dinamakan Pattern Practice (latihan pola), dan
•Memerlukan keadaan yang nyata di dalam perhubungan di antara individu dengan individu yang lain.
Selain daripada ciri-ciri tersebut, kaedah dengar sebut ini mengutamakan dialog sebagai alat yang ampuh menerangkan sesuatu bahasa dan penekanan yang berulang-ulang untuk melahirkan suatu tabiat. Kaedah ini tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu tatabahasa dan menolak pendekatan kaedah Nahu Terjemahan yang berbentuk intelektual yang cuba menghuraikan permasalahan bahasa.
Proses pembelajaran dilihat sebagai satu tabiat dan pelaziman tanpa melibatkan analisis yang bersifat intelektual atau menggerakkan daya fikir dan kreatif. Latihan-Iatihan berbentuk mudah dan aktif supaya pembelajaran tidak dianggap sebagai satu beban pemikiran. Kaedah ini juga menerapkan penggunaan peralatan mengajar seperti benda-benda maujud, gambar dan makmal bahasa. Penekanannya disampaikan secara berulang-ulang untuk membiasakan penggunaan bahasa seperti menerusi teknik latih tubi yang membolehkan para pelajar membuat gerak balas hasil daripada rangsangan guru. 
4.6 KAEDAH KOD KOGNITIF
Perbezaan yang jelas antara kaedah dengar sebut dengan kaedah kognitif ini ialah penggunaan pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kaedah ini lebih bersifat analisis sedangkan kaedah dengar sebut pula digerakkan secara analogi. Dengan analisis, pelajar menggunakan fikirannya untuk memahami sesuatu rumus tatabahasa.
Azman Wan Chik (1968) menerapkan beberapa ciri kaedah kognitif ini, iaitu;
•Menguasai dengan secara sedar pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal sesuatu bahasa,
•Pembelajaran dengan menganalisis pola-pola, dan
•Menekankan pemahaman para pelajar akan struktur sesuatu bahasa daripada kesenangan menggunakan struktur tersebut.
Para pengkaji pendidikan menyifatkan kaedah ini merupakan lanjutan atau penyesuaian daripada kaedah Nahu terjemahan. Dalam bentuknya yang baru, kaedah ini memberatkan soal penguasaan bahasa secara sedar, iaitu bahasa sebagai satu sistem yang bermakna.

No comments:

Post a Comment